Friday, 2 January 2015

Penggunaan bahasa kebangsaan semakin terpinggir oleh rakyat pada masa kini

Penggunaan bahasa kebangsaan semakin terpinggir oleh rakyat pada masa kini. Bincangkan pernyataan di atas.     

  Pada hari ini, isu bahasa kebangsaan selalu diperkatakan. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa kebangsaan semakin terpinggir oleh rakyat pada masa kini. Persoalannya, mengapakah isu sedemikian sering menjadi buah mulut masyarakat? Oleh itu, marilah kita membincangkan cara-cara untuk memartabatkan bahasaMelayu.

  Sesungguhnya, kerajaan seyogianya mengadakan kempen kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu. Hal ini dapat menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dan mengembalikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Sebagai contoh, kempen “Cintailah Bahasa Kita” perlu diadakan dari semasa ke semasa untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat. Oleh itu, bahasa Melayu dapat berkembang menjadi bahasa kelas dunia yang praktikal dan realistik. Jelaslah, mengadakan kempen kesedaran merupakan kaedah untuk memartabatkan bahasa Melayu.

   Sementelahan, kerajaan seharusnya mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi. Hal ini secara tidak langsungnya dapat menerapkan nilai-nilai penggunaan bahasa yang baku dalam sektor kerajaan. Sebagai tamsilan, bahasa Melayu perlu terus kekal digunakan dalam bidang pentadbiran undang-undang, kehakiman dan mahkamah. Oleh itu, bahasa Melayu akan diperkasa sama ada pada peringkat kenegeraan mahupun antarabangsa. Benarlah, mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi merupakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

   Selain itu, kerajaan sepatutnya mewajibkan penggunaan bahasa yang betul pada papan-papan tanda. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa yang tidak betul akan menjejaskan imej negara di mata masyarakat. Sebagai misalan, Dewan Bahasadan Pustaka (DBP) bertanggungjawab untuk memantau dan membuat teguran terhadap sebarang kesalahan bahasa pada papan-papan tanda dan pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan selanjutnya. Oleh itu, isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat dikurangkan. Tegasnya, mewajibkan penggunaan bahasa yang betul pada papan-papan tanda merupakan uslub untuk memartabatkan bahasa Melayu.

   Di samping itu, kerajaan sewajarnya mewajibkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa di sekolah. Hal ini demikian kerana sekolah merupakan satu medium penting untuk menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Sebagai contoh, sekolah perlu diwajibkan mengadakan program bahasa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) seperti Safari Membaca dan Maraton Membaca. Oleh itu, para pelajar dapat belajar tentang bahasa yang betul melalui penyertaan mereka dalam aktiviti bulan bahasa. Sudah terang lagi bersuluh, mewajibkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa di sekolah merupakan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu.

  Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama “bagai aur dengan tebing” untuk memartabatkan bahasa Melayu. Jika tidak, bahasa Melayu akan musnah ditelan zaman. Semoga kita akan dapat meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat. Namun begitu, bak kata peribahasa, “tepuk dada tanya selera”.

                                                                                           (399 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment