Wednesday, 7 January 2015

usaha usaha individu memupuk amalan membaca

Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh mereka lakukan khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan.Namun begitu, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara kata “yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan muafakat” untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, sebagai seorang pelajar dan remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan amalan membaca itu amalan hidup.

Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada, Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai jenis perpustakaan, tamsilnya perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di perpustakaan yang dikunjungi, saya dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca walaupun memaklumi bahawa perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat diteroka. Walaupun sekadar membaca sebuah buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ bertepatan dengan kata peribahasasambil menyelam minum air. Ternyata pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa terdorong untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, amat bersesuaian untuk saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan membaca. Kata-kata hikmat  di atas akan diperjelaskan serta dibahaskan dari perspektif menyediakan sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa perubahan diri sendiri merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan membaca sebagai amalan dalam kehidupan. Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah untuk kegunaan semua ahli keluarga. Situasi ini akan menggalakkan serta mendorong kami sekeluarga supaya berjinak-jinak dengan bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan dalam minda setiap anggota keluarga. Sementalahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya bed story” sebelum tidur.  Neville Black, seorang ahli falsafah Barat, berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah aset yang paling dominan sekiranya kita ingin bersaing dengan pihak lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas pertama. Berdasarkan perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan membaca dalam diri sekali gus menjadi suri teladan kepada adik-adik saya.

Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat PARA pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini, saya perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku NILAM. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam program ini juga terdapat tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya pelajar lain juga akan turut sama menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup mereka. Apa yang pasti, segala keinginan untuk meningkatkan jumlah bahan bacaan yang dibaca perlu lahir daripada diri saya tanpa wujud paksaan daripada pihak lain. Dalam hal ini, saya amat berpegang kepada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, sekiranya seseorang itu sendiri tidak mahu mengubahnya.

Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana, saya akan mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam pameran-pameran seperti inilah saya dapat membeli buku dengan harga yang murah dan berpatutan dan membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di pameran tersebut. Terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsisi buku-buku yang dijual. Dengan ini, saya dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut sebelum membuat pilihan untuk membelinya. Justeru, saya bukan sahaja dapat membaca secara percuma, malah dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga. Dengan mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau kedai buku, saya akan mengenali lebih ramai rakan yang berkongsi minat yang sama iaitu membaca. Peribahasajauh perjalanan luas pemandangan amat bersesuaian dengan perkara dan situasi yang saya bincangkan di atas.

Seterusnya, saya juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga bercorak santai seperti Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah saya boleh mendapatkan buku atau majalah tersebut? Saya boleh melanggannya melalui internet atau meminta bantuan  guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya, saya akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Dalam hal ini, saya akan menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis novel tersohor, Sharifah Abu Salem. Apabila saya menjadikan mereka sebagai idola, saya akan sentiasa terdorong untuk melanggan pelagai buku di pasaran sekali gus menjadikan membaca sebagai rutin hidup saya.

Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi perkembangan dan kemajuan dengan menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian, untuk meneruskan perjuangan kita merealisasikan hasrat membentuk ”negara pembaca teras negara maju’. Saya juga berperanan penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang minat membaca. Pada dasarnya, media massa sebagai arus perdana yang berpengaruh sama ada media cetak atau media elektronik sentiasa mengadakan pertandingan atau aktiviti malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok negara untuk memupuk minat membaca dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, saya perlu menyertai aktiviti seperti sayembara, menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli keluarga untuk menyertai kempen ”Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan” bersama-sama. Hal ini diibaratkan sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.

Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana bertepatan dengan kata-kata  pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah dibiarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara yang sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan’Membaca Jambatan Ilmu’ dan ’Rakyat Membaca, Bangsa Berjaya’ seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak. Generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam tempoh lapan tahun mendatang.

Tuesday, 6 January 2015

Cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Panjang karangan anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

    Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi  dan  kencing manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang  pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat kemudahan rawatan kesihatan.  Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya  untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?

         Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah sama sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan merupakan kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Tegasnya, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.

           Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup sihat iaitu menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta selalunya diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.

                Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak lari daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang menyertai satu aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan badan, mereka juga akan dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk semasa berada di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.

              Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah PARAS bahaya. Masyarakat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan  kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan kepentingan kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita melakukan rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan penyakit secara awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara langsung pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal PARAS gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih baik daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.

          Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin  untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.

P

Saturday, 3 January 2015

faktor faktor kes ragut

Berikut adalah contoh esei karangan SPM 2013 terbaik mengenai isu semasa. Contoh karangan ini ditulis oleh Noor Azman Mahat dan panduan yang diberikan sangat berguna khususnya bagi pelajar SPM. Memandangkan peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia akan tiba tidak lama lagi, dibawah adalah contoh karangan mengenai isu semasa.
Contoh Esei Karangan SPM 2013 Terbaik
Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan kes ragut  menjadi lebih serius:
Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?
Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.
Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.
Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.
Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.
Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.

Friday, 2 January 2015

Peranan ibu bapa dalam menguranhlan gejala sosial

Peranan Ibu Bapa dalam Mengurangkan Gejala Sosial



Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yangmampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja.Akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja yang terjebak dalam gejala
sosial kerap terpampang di dada akhbar. Isu inimenjadi suatu isu yang hangatdiperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai. Antara penyakit sosialyang dimaksudkan ialah gejala vandalism, buli dan ponteng. Keutuhan institusi keluargabegitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi keluarga diibaratkanseperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga begitupenting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgakudiadakan secara besar-besaran. Program ini menekankan kepentingan rumahdiibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga.Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagimenghalang golongan remajadaripada terjebak dalam gejala sosial.

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepadaanak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yangpenuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilaidan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikapsesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulahdikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan danmaterialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalusibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka.Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untukmelakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapabolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-destinasi yang menarik dinegara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan sepertikain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampumengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak merekaamat memerlukan kasih sayang seorang ayah dan ibu.

Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moralyang sempurna . Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadappembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral dapat menjamin bahawaremaja akan dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk danseterusnya mendorong remaja mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesentengahibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan danmenyediakan makan minum anak-anak tidak benar sama sekali. Mereka jugaharus memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna. Sebagaicontoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agamakepadaanak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah darirebungnya. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawaanak-anak mereka mempunyai benteng diri yang kukuh untuk menolak ajakanrakan-rakan untuk melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkanimej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadapkebajikan anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak merekadi sekolah. Dari semasa kesemasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untukmenghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi olehanak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalamsebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah,guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yangbermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlumemastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak merekatidaklah Bagai me ncurahkan air ke daun keladi.  Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalahremaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripadamengubati. Ibubapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak merekadengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wangringgit.

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepadaanak-anak mereka . Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah lakudan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan olehanak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru olehanak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokokperlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka berkemungkinan besarakan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apakelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akanmenyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapatidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini,golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka danseterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masadepan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perludihapuskan dari akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.Ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagimemastikan golongan remaja tidak akan menjangkiti sebarang penyakit sosialkerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Mereka harusdibimbing agar akan menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan.Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda  kelas pertama akan dapat direalisasikan.

Penggunaan bahasa kebangsaan semakin terpinggir oleh rakyat pada masa kini

Penggunaan bahasa kebangsaan semakin terpinggir oleh rakyat pada masa kini. Bincangkan pernyataan di atas.     

  Pada hari ini, isu bahasa kebangsaan selalu diperkatakan. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa kebangsaan semakin terpinggir oleh rakyat pada masa kini. Persoalannya, mengapakah isu sedemikian sering menjadi buah mulut masyarakat? Oleh itu, marilah kita membincangkan cara-cara untuk memartabatkan bahasaMelayu.

  Sesungguhnya, kerajaan seyogianya mengadakan kempen kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu. Hal ini dapat menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dan mengembalikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Sebagai contoh, kempen “Cintailah Bahasa Kita” perlu diadakan dari semasa ke semasa untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat. Oleh itu, bahasa Melayu dapat berkembang menjadi bahasa kelas dunia yang praktikal dan realistik. Jelaslah, mengadakan kempen kesedaran merupakan kaedah untuk memartabatkan bahasa Melayu.

   Sementelahan, kerajaan seharusnya mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi. Hal ini secara tidak langsungnya dapat menerapkan nilai-nilai penggunaan bahasa yang baku dalam sektor kerajaan. Sebagai tamsilan, bahasa Melayu perlu terus kekal digunakan dalam bidang pentadbiran undang-undang, kehakiman dan mahkamah. Oleh itu, bahasa Melayu akan diperkasa sama ada pada peringkat kenegeraan mahupun antarabangsa. Benarlah, mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi merupakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

   Selain itu, kerajaan sepatutnya mewajibkan penggunaan bahasa yang betul pada papan-papan tanda. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa yang tidak betul akan menjejaskan imej negara di mata masyarakat. Sebagai misalan, Dewan Bahasadan Pustaka (DBP) bertanggungjawab untuk memantau dan membuat teguran terhadap sebarang kesalahan bahasa pada papan-papan tanda dan pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan selanjutnya. Oleh itu, isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat dikurangkan. Tegasnya, mewajibkan penggunaan bahasa yang betul pada papan-papan tanda merupakan uslub untuk memartabatkan bahasa Melayu.

   Di samping itu, kerajaan sewajarnya mewajibkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa di sekolah. Hal ini demikian kerana sekolah merupakan satu medium penting untuk menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Sebagai contoh, sekolah perlu diwajibkan mengadakan program bahasa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) seperti Safari Membaca dan Maraton Membaca. Oleh itu, para pelajar dapat belajar tentang bahasa yang betul melalui penyertaan mereka dalam aktiviti bulan bahasa. Sudah terang lagi bersuluh, mewajibkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa di sekolah merupakan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu.

  Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama “bagai aur dengan tebing” untuk memartabatkan bahasa Melayu. Jika tidak, bahasa Melayu akan musnah ditelan zaman. Semoga kita akan dapat meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat. Namun begitu, bak kata peribahasa, “tepuk dada tanya selera”.

                                                                                           (399 patah perkataan)