Usaha meningkatkan semangat
patriolitik
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan
masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak.
Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang
menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka,
perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari
kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh
itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan
sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan
bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan.
Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat
ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh
dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di
negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan
tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara
ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata
peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.
Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat
patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula,
amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta
akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama
negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat
pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini
dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya
perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat
patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu.
Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam
kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan
seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam
sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau
pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen
secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan
dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat
tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita
Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti
televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen
dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan
semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang
kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan
filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan
semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula
perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha
untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat
memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan
juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan
pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu,
Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang
semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai
bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu
masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik
malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh
dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa
mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat
akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang
tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan
menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh
pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh
hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah
dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak
dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar
untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi
yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk
semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini
demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara
yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada
bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik
yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar
mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara
maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan
remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan
mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan
memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan
disuburkan dalam kalangan masyarakat.